Bahagian Pembangunan Tanah

Pentadbiran Tanah

Bahagian tanah adalah merupakan bahagian yang memberi perkhidmatan yang dinamis kepada rakyat dalam urusan tanah dan pembangunan tanah serta menentukan segala punca hasil dipungut secara sistematik, berkesan dan memuaskan. Dalam memastikan segala perkhidmatan berjalan lancar, bahagian ini dipecahkan kepada lima bahagian yang mana setiap satunya bertanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing. Unit tersebut ialah unit pendaftaran, unit deposit, unit hasil, unit pengambilan dan pelupusan tanah dan unit teknikal.

Objektif Bahagian Tanah

  • Memberikan perkhidmatan yang dinamis kepada rakyat dalam urusan tanah dan membangunkan tanah.
  • Mewujudkan pengurusan yang cekap dalam hal tanah.
  • Menentukan pentadbiran tanah dijalankan mengikut kehendak dasar dan undang-undang.
  • Menetukan pentadbiran tanah berjalan dengan licin bagi melatih dan memberikan bimbingan kepada pegawai dan kakitangan.
  • Menentukan segala punca hasil dipungut dengan sistem dan cara yang berkesan dan memuaskan.
  • Menyimpan rekod urusan tanah yang dikemaskini serta menentukan pemilihan harta yang sah dari segi undang-undang.

Peranan Bahagian Tanah

a) Unit Pendaftaran

Unit pendaftaran merupakan unit kecil dalam bahagian tanah. Ia menyediakan perkhidmatan tanah seperti pindah milik, gadaian, pajakan dan membuat cabutan (penyemakan status tanah). Setiap urusan yang hendak dijalankan di unit ini mestilah menggunakan suratcara  iaitu dengan menggunakan borang-borang yang tertentu bergantung kepada jenis urusan yang hendak dilakukan.

Ia mestilah menggunakan borang-borang yang telah diperuntukkan dalam Jadual Pertama Kanun Tanah Negara (KTN). Ini ialah seperti yang dinyatakan dalam seksyen 207 KTN. Kehendak-kehendak seksyen 212 dan Jadual Kesepuluh (berkenaan dengan penyediaan dan pengisian borang) hendaklah dipatuhi.
Borang-borang yang biasa digunakan untuk membuat urusan di Unit Pendaftaran adalah seperti yang berikut:

  • Borang 14A - pindahmilik tanah, bahagian atau pajakan
  • Borang 14B - pindahmilik gadaian
  • Borang 15A - pajakan tanah
  • Borang 15B - pajakan kecil tanah
  • Borang 15C - penyerahan balik pajakan
  • Borang 16A - gadaian (untuk menjamin bayaran pokok)
  • Borang 16B - gadaian (untuk menjamin pembayaran wang semasa)
  • Borang 16C - melepaskan gadaian

b) Unit Deposit

Fungsi utama unit deposit ialah menjalankan proses mematikan stem. Di samping itu, unit ini juga bertanggungjawab dalam mencatatkan semua hasil daripada stem yang telah diperolehi.

c) Unit Hasil

Unit hasil berfungsi adalah selaras dengan namanya iaitu berfungsi sebagai menyediakan perkhidmatan pembayaran cukai tanah dan juga cukai-cukai lain sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang Negeri Kelantan. Kutipan utama adalah daripada hasil tanah. Pembayaran hasil tanah ini adalah diwajibkan kepada semua pemilik tanah. Bagi mereka yang enggan membayarnya, berkemungkinan tanah mereka akan dirampas dan dilelong oleh pihak kerajaan apabila mencapai tahap dan jumlah yang telah ditetapkan.

Biasanya kelewatan pembayaran hasil ialah pada penghujung bulan Jun dan selepas bulan ini iaitu bulan Julai, para pemilik tanah akan dikenakan denda sekiranya mereka masih lagi tidak membayar hasil tanah tersebut  berdasarkan kepada jumlah hasil tanah mereka. Kadar denda yang dikenakan adalah seperti berikut:

 

DENDA
KADAR
RM 5.00 atau kurang
RM 2.00
RM 5.01 - RM 10.00
RM 4.00
RM 10.01 - RM 50.00
RM 6.00
RM 50.01 - RM 100.00
RM 12.00
Jika lebih RM 100.00
15% daripada jumlah hasil

 

d) Unit Pengambilan Dan Pelupusan Tanah

Unit pengambilan dan pelupusan tanah adalah merupakan unit yang berperanan menjalankan urusan seperti permohonan ubah syarat dan pecah sempadan, permohonan menukar hak milik tanah, permohonan sementara lesen menduduki tanah sementara, permohonan pecah bahagian, permohonan serah balik dan bermilik semula, permohonan cantuman, permohonan ubah syarat dan pecah sempadan serentak melalui pusat serenti dan permohonan milik tanah.

Setiap urusan yang hendak dijalankan oleh pelanggan hendaklah menggunakan suratcara iaitu dengan menggunakan borang-borang yang telah disediakan bergantung kepada jenis urusan yang hendak dilakukan oleh orang ramai. Antara borang-borang yang biasa digunakan apabila membuat sesuatu urusan di Unit Pelupusan Dan Pengambilan Tanah adalah seperti berikut:

  • Borang permohonan serah balik tanah (12A/12B)
  • Borang permohonan hak lalu-lalang persendirian (28A)
  • Borang permohonan tunjuk sempadan
  • Borang permohonan lesen menduduki tanah sementara
  • Borang permohonan ubah syarat
  • Borang untuk pembayaran deposit

e) Unit Teknikal

Unit teknikal ialah unit yang berkait rapat dengan unit pengambilan dan pelupusan tanah. Bahgia ini melakukan kerja-kerja luar dan berfungsi sebagai tempat untuk mendapatkan pelan-pelan tanah. Di sini diletakkan pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab untuk mengukur tanah yang dipohon oleh pemohon. Di samping itu, tugas unit ini juga ialah melukis pelan tanah dan sebagainya yang berkaitan dengan teknikal.